Friday 25 October 2013

CORETAN WARKAH

Calon imamku yang dirahmati , 

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita , oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan) , dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta meraka . " 

                                                                   (Surah An-Nisaa' Ayat : 34) 




   Membenarkan seperti apa yang telah DIA katakan dalam Qalam-NYA yang mulia , aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir . Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata . Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaan-NYA . Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran , qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga , INSYAALLAH . 


   Ingin aku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku . Kau terlalu membimbangkan akan kehendak bersifat duniawi semata-mata . Benar ? Ketahuilah , aku tidak menginginkan hantaran bersusun , mas kahwin yang hanya menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama . Cukuplah seandainya , maharku sebuah Qalam Mulia , AL-QURAN , kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumah tangga kita dalam meraih keredhaan-NYA , bukan kekayaan dunia yang hanya bersifat sementara . Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan ini , kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku , INSYAALLAH . Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang di sekelilingmu , itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan . Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa Masyhur , tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan , karana semuanya berada di dalam udara Qanaah , redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im . 






   Lihatlah rumah tangga Rasulullah SAW , kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan , pernah dapurnya tidak berasap kerana tiada bahan makanan yang dapat dimasak . Walaupun sedemikian susahnya , rumah tangga Rasulullah SAW tetap menjadi rumah tangga yang paling bahagia yang tiada tolok bandingnya hingga ke hari ini . 


   Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini . Cukup dahulu buat tika ini , andai diizinkan aku akan kembali menitipkan lagi kiriman bertintakan hati ini . Akhir bicara , maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan . 

WASALAM . 



"YA ALLAH , GEMBIRAKAN KAMI DENGAN REDHA-MU"




No comments:

Post a Comment